Wednesday, August 11, 2010

Teori Berkaitan Dengan Praktis Kerja Sosial Individu Dan Kumpulan


Pendekatan Penyelesaian Masalah

Pendekatan teori yang berkaitan dengan praktis kerja sosial di peringkat mikro telah wujud sejak bertahun-tahun dahulu lagi. Teori atau model baru ini boleh terhasil daripada pengalaman kerja dalam pelbagai situasi dan persekitaran yang berbeza. Para pekerja sosial tetap dikawal oleh nilai professional sebagai seorang pekerja sosial walaupun menggunakan teori yang berbeza dalam pendekatan mereka berdasarkan kepada minat masing-masing. Oleh sebab itu, kesahan, kebolehpercayaan dan profesionaliti intervensi yang dijalankan tetap terjaga dan tidak perlu dipertikaikan lagi. Pegawai kerja sosial menggunakan pelbagai model dan teori sebagai rangka kerja untuk praktis terutamanya dalam membuat intervensi.
Antara teori yang digunakan oleh pengamal kerja sosial ialah pendekatan penyelesaian masalah. Pendekatan ini telah diperkenalkan dan dibangunkan oleh Perlman (1959), yang diaplikasikan terhadap individu dan keluarga. Menurut Perlman, intervensi yang baik adalah berasaskan kepada motivasi, kemampuan dan peluang dalam sistem kehidupan klien untuk melakukan sesuatu perubahan. Melalui pendekatan ini juga, sistem kehidupan klien akan meningkat dan seterusnya mereka dapat menyelesaikan semua masalah yang timbul.
Pendekatan ini juga menekankan kepada klien agar mengambil tindakan untuk bergerak ke hadapan dalam menyelesaikan masalah. Masalah tidak akan selesai sekiranya klien hanya bercerita tentang masalah mereka tanpa mengambil apa-apa tindakan untuk bergerak ke hadapan. Dengan kata lain, pendekatan ini tidak akan berjaya dan klien akan tetap berada di takuk yang lama sekiranya klien tidak mempunyai motivasi. Oleh sebab itu, pekerja sosial perlu memberikan dorongan dan galakan kepada klien untuk menaikkan semangat mereka agar bermotivasi untuk menghadapi masalah yang dihadapi dan berjaya mengatasi masalah tersebut. kemampuan pula merujuk kepada kebolehan klien untuk berubah menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
Contohnya, sebuah keluarga kehilangan bapa yang menjadi ketua keluarga tempat mereka bergantung dan sumber pendapatan mereka. untuk mengatasi masalah tersebut, pekerja sosial perlu memberikan semangat dan dorongan kepada ahli keluarga tersebut agar mereka bersabar dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. Pekerja sosial boleh memberi nasihat kepada ibu tersebut agar keluar mencari pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka. Peluang pula merujuk kepada peluang yang terdapat persekitaran klien. Contohnya, ibu tersebut tidak pernah bekerja dan tidak mempunyai kemahiran atau pengalaman kerja menyebabkan beliau sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Rujukan: Samir Muhazzab Amin dan Winny Abdul, 2009. Pengantar Kerja Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributions Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment