Merempit merupakan satu isu yang tidak asing lagi di negara kita sejak bertahun-tahun lamanya dan gejala ini masih tidak dapat diatasi walaupun pelbagai cara telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengatasi gejala tersebut. Gejala ‘Mat rempit’ ini sering kali dipaparkan kepada masyarakat sama ada melalui media massa dan juga elektronik seperti di televisyen dan juga akhbar. Masalah sosial yang melibatkan ‘mat rempit’ ini juga semakin membimbangkan dari semasa ke semasa dan gejala langkah terbaik perlu dicari dan diambil untuk mengatasi isu ini. Gejala merempit ini merupakan satu isu yang hangat diperkatakan sejak dahulu lagi dan isu ini tidak lapuk ditelan masa kerana langkah terbaik untuk mengatasi masalah ini belum ditemui walaupun pelbagai cara telah dilakukan.
‘Mat rempit’ hari ini bukan sahaja merempit malah melakukan pelbagai kesalahan lain yang meragut nyawa orang yang tidak bersalah seperti meragut, bergaduh, mengganggu ketenteraman awam, menjadi samseng jalanan, kaki pukul dan lebih dahsyat lagi sehingga sanggup membunuh. Mereka melakukan pelbagai aksi ngeri dan membahayakan semata-mata untuk mendapatkan keseronokan, kepuasan dan mendapat pujian semata-mata. Selain itu, mereka juga sanggup melakukan apa sahaja hanya untuk mendapatkan habuan seperti dadah, perempuan dan sebagainya sebagai hadiah atas kemenangan dan keberanian mereka. ‘Mat rempit’ ini juga melakukan pelbagai aksi yang membahayakan di jalan raya tanpa menghiraukan keselamatan diri dan orang awam. Kehadiran ‘Mat rempit’ menyebabkan orang awam merasa terganggu kerana mereka berlagak seperti raja di jalanan.
Apakah yang menyebabkan golongan ini sanggup memperjudikan nyawa sendiri di jalanan dan melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesannya di kemudian hari. Antara punca atau faktor yang mendorong kepada gejala merempit atau lebih dikenali dengan nama ‘Mat rempit’ ataupun samseng jalanan ini ialah perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru dan pantang dicabar. Hal ini demikian kerana sebagai seorang remaja, mereka suka mencuba sesuatu yang baru dan boleh mendatangkan keseronokan kepada mereka tanpa mengira kesannya di kemudian hari. Golongan remaja juga pantang dicabar dan mereka sanggup melakukan apa sahaja apabila ego mereka tercabar walaupun membahayakan nyawa sendiri dan orang lain. Selain itu, pengaruh daripada rakan sebaya juga menyumbang kepada peningkatan golongan ‘Mat rempit’ ini kerana golongan remaja mudah terpengaruh dan meniru perbuatan yang dilakukan oleh rakan mereka. Di samping itu, kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa menyebabkan golongan remaja mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak berfaedah ini dan mereka mula mengikuti rakan-rakan sebaya mereka melepak dan merempit.

Antara langkah yang boleh di ambil untuk mengatasi dan mengurangkan gejala merempit ini adalah ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan sewajarnya. Hal ini kerana, jika ibu bapa memberikan sepenuh perhatian dan memantau segala aktiviti yang dilakukan, anak-anak mereka tidak akan terlibat dengan gejala ini. Berikan kasih sayang yang secukupnya dan luangkan masa untuk mendengar luahan hati dan masalah yang dihadapi oleh anak-anak agar mereka merasakan diri mereka disayangi dan diperlukan oleh ibu bapa. Mereka melakukan aksi ngeri keranan merasakan mereka tidak diperlukan oleh sesiapa sehingga sanggup menggadai nyawa sendiri. Namun demikian, pihak berkuasa memainkan peranan yang penting dalam mengatsi gejala ‘Mat rempit’ ini kerana tanpa penguatkuasaan daripada pihak berkuasa gejala ini tidak dapat di atasi. Penguatkuasaan undang-undang amat penting dan hukuman yang dikenakan kepada golongan ini juga perlu lebih keras dan tegas daripada undang-undang sedia ada agar mereka insaf dan berubah.
Gejala ‘Mat rempit ini mengambil masa yang lama untuk diatasi walaupun pelbagai cara telah dilakukan. Apa yang menyebabkan gejala ini tidak dapat di atasi dan bagaimana golongan ini dapat dikurangkan daripada terus membelenggu masyarakat kita pada hari ini. Semua pihak perlu berkerjasama agar gejala’Mat rempit ini dapat diatasi dan virus yang dibawa oleh mereka dalam masyarakat dapat disingkirkan.
PONTENG SEKOLAH
Gejala ponteng sekolah merupakan satu masalah sosial yang berlaku sejak dari dahulu lagi dan semakin berleluasa sehingga ke hari ini. Para pelajar yang bermasalah sama ada dengan ibu bapa ataupun guru di sekolah menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan tidak menghadirkan diri ke sekolah. Terdapat juga pelajar yang ponteng selepas ibu bapa yang menghantar mereka pulang. Para pelajar ini akan menghabiskan masa persekolahan dengan melepak dan merayau-rayau di pusat beli-belah ataupun menghabiskan masa dengan bermain permainan komputer di pusat kafe siber. Gejala ponteng sekolah ini perlu diatasi segera agar anak-anak remaja ini berubah dan dapat menuntut ilmu yang sewajarnya kerana mereka ini merupakan golongan yang akan menjadi pemimpin negara kita pada masa hadapan.
Antara punca pelajar-pelajar ini ponteng sekolah adalah disebabkan oleh suasana persekitaran sekolah yang berubah akibat proses urbanisasi seperti pembinaan arked permainan video, kafe siber, pusat beli belah dan sebagainya berhampiran dengan sekolah mereka. selain itu, pengaruh media elektronik juga menjadi punca kepada gejala ini. Hal ini demikian kerana, anak-anak remaja mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat. Oleh sebab itu, mereka akan meniru perbuatan yang dilakukan oleh watak yang dilakonkan di dalam drama yang ditonton oleh mereka seperti ponteng dan melepak.
Faktor yang paling utama menjadi punca kepada gejala ini ialah kurangnya pemantauan dan kasih sayang daripada ibu bapa serta keruntuhan institusi kekeluargaan seseorang pelajar itu. Hal ini demikian kerana, pergaduhan yang sering belaku antara ibu dan bapa membuat anak-anak mereka tertekan dan tidak dapat menumpukan perhatin kepada pelajaran. Pertelingkahan yang sering berlaku juga menyebabkan kebajikan dan apa yang dilakukan oleh anak-anak di sekolah dan di luar tidak diberi perhatian oleh ibu bapa menyebabkan anak mereka melakukan apa sahaja yang disukai. Para pelajar yang datang daripada keluarga bermasalah ini akan mudah terpengaruh dengan kawan untuk ponteng sekolah bag melupakan masalah yang dialami oleh mereka. selain itu juga, dengan mengikuti rakan mereka akan merasa lebih seronok dan dihargai menyebabkan pelajar tersebut tidk menghiraukan apa yang baik dan buruk untuk diri mereka. terdapat juga pelajar yang akan keluar pagi untuk ke sekolah tetapi sebenarnya, mereka berjumpa kawan, dan tidak ke pergi sekolah malahan mereka melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak, merokok, vandalisme dan sebagainya pada waktu persekolan. Gejala ponteng sekolah akan menimbulkan lebih banyak lagi masalah sosial di kalangan pelajar.
Selain daripada pengaruh rakan, pelajar akan ponteng sekolah disebakan tidak menyiapkan kerja sekolah yang diarahkan oleh guru. Apabila takut dimarahi oleh guru yang garang, mereka akan mengambil jalan yang mudah dengan ponteng sekolah dan menghabiskan masa dengan sia-sia. Hal ini menunjukkan, guru yang bersikap terlalu garang akan menyebabkan pelajar takutkan mereka sehingga sanggup ponteng sekolah daripada di denda. Lama- kelamaan mereka akan seronok berada di luar sekolah pada waktu persekolahan menyebabkan pelajar seronok untuk terus melakukan aktiviti tersebut sehingga tidak menghiraukan kepentingan pelajaran pada mereka.
Untuk mengatasi maslah ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dengan menerapkan nilai-nilai murni dan agama dalam diri anak-anak agar mereka lebih bertanggungjawab dan dapat membezakan antara perkara yang mendatangkan kebaikan atau keburukan dalam hidup mereka. ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan dengan menyerahkan segala tanggungjawab mendidik dan memantau anak-anak mereka pada waktu persekolahan kerana guru-guru mempunyai tanggungjawab yang besar dan bukan hanya seorang pelajar yang berda di bawah pemantauan seorang guru tetapi berpuluh-puluh bahkan semua pelajar di sekolah perlu dipant oleh guru. Ibu bapa juga perlu meluangkan sedikit masa untuk mengambil tahu apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka pada waktu persekolahan.
Selain itu, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan yang besar dalam menangani gejala ponteng sekolah ini dengan mengetatkan peraturan sekolah. Hukuman yang lebih berat seperti gantung sekolah dan membuang pelajar yang tidak datang kesekolah dalam tempoh yang lama tanpa alasan yang kukuh perlu dilaksanakan agar para pelajar berfikir sepenuhnya sebelum ponteng sekolah. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu mengambil berat akan gejala ini dengan menagkap pelajar yang ponteng dan berkelairan agar mereka sedar kesalahan yang mereka lakukan itu.
Kesimpulannya, semua pihak perlu memberi perhatian dan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menangani gejala ponteng sekoalah agar dak terus menjadi budaya ini tidk terus menjadi barah yang semakin merebak dalam masyarakat kita. Pelajar sekolah hari ini merupakan bakal pemimpin negara kita padaa masa hadapan. Oleh itu, mereka perlu dipantau dan dididik dengan sepenuhnya agar menjadi insane yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
PENDERAAN KANAK-KANAK
Penderaan kanak-kanak merupakan satu kesalahan besar dan mereka yang melakukan perbuatan tersebut patut dihukum dengan seberat-berat hukuman. Kanak-kanak merupakan insane yang patut kita sayangi dan dijaga dengan sepenuh kasih-sayang bukannya tempat untuk kita melepaskan perasaan marah, benci, atau dendam. Namun demikian, pada hari ini, kanak-kanak bukan lagi disayangi dan dilindungi tetapi mereka menjadi tempat manusia yang tidak berperikemanusiaan melepaska kemarahan dan tekanan. Setiap hari, kita akan mendegar dan membaca berita tentang anak-anak dipukul, dirogol, dan yang terbaru kita digemparkan dengan kematian seorang kank-kanak yang disembelih oleh bapanya sendiri.
Penderaan kanak-kanak terbahagi kepada penderaan emosi, fizikal dan seksual. Penderaan emosi berlaku berdasarkan kepada tingkah laku buruk ibu bapa terhadap anak-anak iatu penolakan, pengasingan, menakutkan, sikap tidak peduli atau mengabaikan dan sikap merasuah fikiran. Jika ibu bapa terus bertingkah laku seperti ini terhadap kanak-kanak akan menyebabkan kecederaan ke atas funsi psikologi dan emosi kanak-kanak tersebut. penderaan fizikal pula seperti yang kita boleh lihat ialah memukul kanak-kanak dengan objek seperti mencucuh puntung rokok sehingga meninggalkan kesan ataupun menggunakan kekerasan sehingga meninggalka kesan jangka pendek dan panjang ke atas tubuh badan kanak-kanak tersebut. Penderaan seksual pula berlaku apabila kanak-kanak didera secara seksual seperti dirogol, dicabul ataupun gambar mereka dirakam atau dieksploitasi seks oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk kepuasan nafsu seks individu tersebut ataupun orang lain.
Kanak-kanak sering menjadi mangsa dera kerana mereka insan yang lemah dan orang yang menderaa mereka kebiasaannya adalah orang yang sepatutnya melindungi mereka seperti ibu bapa dan ahli keluarga yang lain serta ada juga melibatkan orang luar seperti jiran dan pengasuh. Kes penderaan kanak-kanak meningkat setiap tahun dan setiap hari kita dipaparkan dengan berita tentang penderaan kanak-kanak. Kes penderaan kanak-kanak juga semakin membimbangkan dan telah menunjukkan peningkatan iaitu 2,279 kes pada tahun 2007 kepada 2,780 kes pada tahun 2008. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, pada empat bulan pertama tahun 2009 sebanyak 819 kes jenayah penderaan kanak-kanak telah dilaporkan kepada jabatan tersebut iaitu purata tujuh kes sehari. Selain itu, kes-kes penderaan yang melibatkan ibu bapa dan penjaga yang sepatutnya melindungi mereka juga meningkat daripada 992 kes pada tahun 2007 kepada 1,266 kes pada tahun 2008. Hal ini menunjukkan ibu bapa dan penjaga yang sepatutnya melindungi kanak-kanak dengan baik tidak menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sewajarnya.
Mengapakah situasi ini berlaku dalam masyarakat kita. Antara punca penderaan kanak-kanak ialah kurangnya pendidikan agama di kalangan ibu bapa. Kekurangan pengetahuan dan amalan agama di kalangan ibu bapa menyebabkan mereka tidak bertanggungjawab terhadap anak mereka yang merupakan anugerah dan amanah daripada ALLAH S.W.T yang sepatutnya dijaga dan dilindungi dengan sepenuh kasih sayang bukannya dipukul dan dihina sesuka hati. Selain itu, ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan dan tekanan di tempat kerja menyebabkan mereka pulang kerumah dengan membawa masalah dan menyebabkan mereka memukul anak-anak untuk untuk melepaskan bebanan tekanan yang dialami. Hal ini menyebabkan anak-anak yang tidak berdosa menjadi mangsa kemarahan ibu dan bapa. Di samping itu juga, masalah rumahtangga yang dialami oleh ibu dan bapa menyebabkan anak-anak menjadi mangsanya. Hal ini kerana, ibu bapa akan bergaduh di hadapan anak-anak menyebabkan mereka tertekan dari segi emosi dan adakalanya ibu bapa akan memukul anak-anak untuk melepaskan perasaan marah terhadap suami atau isteri.
Terdapat pelbagai faktor lagi yang menjadi punca kepada penderaan kanak-kanak iaitu ibu bapa yang menghadapi masalah ketagihan dadah dan arak. Apabila mereka berada di bawah pengaruh dadah dan arak mereka akan mabuk dan hilang kewarasan akal fikiran menyebabkan mereka melakukan apa sahaja tanpa memikirka kesannya sehingga sanggup memukul dan mendera anak sendiri. Selain itu, ibu dan bapa tiri juga menjadi punca kepada kes penderaan kanak-kanak ini. Hal ini kerana, apabila seseorang itu berkahwin dengan individu yang telah mempunyai anak hasil daripada perkahwinan yang terdahulu tetapi individu tersebut tidak dapat menerima anak pasangannya menyebabkan mereka memukul dan mendera kanak-kanak tersebut sesuka hati.
Penderaan menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah emosi seperti tertekan, merasa takut dengan orang dewasa, tiada keyakinan diri dan sebagainya. Selain itu, penderaan terhadap kanak-kanak juga meninggalkan kesan kecederaan kekal pada badan kanak-kanak seperti parut akibat dicucuh dengan puntung rokok, lebam sebagainya. Bagi kanak-kanak yang didera secara seksual, mereka mengalami kecederaan fizikal dan juga emosi seperti trauma, malu untuk berhadapan dengan orang ramai dan mencuba untuk mebunuh diri.
Untuk mengatasi masalah ini, semua pihak perlu memainkan peranan yang penting. Antara langkah yang boleh diambil ialah menekankan soal kasih sayang dalam pendidikan di sekolah. Hal ini kerana, kanak-kanak mempunyai jiwa yang masih bersih dan jika diterapkan dengan nilai murni secara berterusan, ia akan terus berkekalan di hati mereka. pendidikan awal ini juga dapat menyemai sikap tanggungjawab dan benci kepada penderaan. Apabila sudah besar dan dewasa, mereka akan hidup dalam kelompok masyarakat dan perasaan tanggungjawab, ambil berat dan ingin tahu kebajikan orang lain akan terus kekal dalam diri mereka.
Selain itu, perkara yang paling penting ialah, mengenakan tindakan dan hukuman yang berat kepada mereka yang melakukan penderaan kepada kanak-kanak agar individu tersebut lebih menghargai dan menyayangi orang lain. Kerajaan juga mengadakan kempen untuk menyedarkan orang ramai tentang gejala ini namun tidak berkesan dan sesetengah individu tidak merasa bersalah untuk terus melakukan penderaan terhadap kanak-kanak di negara ini kerana tiada tindakan tegas yang dikenakan oleh kerajan terhadap golongan ini. Oleh sebab itu, undang-undang yang ada perlu diperkukuh untuk menjamin kesejahteraan kanak-kanak. Ahli masyarakat juga perlu peka dan mengambil tahu hal yang berlaku di sekeliling mereka. kita bukan ingin bersikap menjaga tepi kain orang lain tetapi keprihatinan kita terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita akan dapat membantu mereka yang tidak berdosa. Orang ramai juga perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka melihat penderaan yang berlaku di kawasan perumahan mereka. Selamatkanlah kanak-kanak yang tidak berdosa ini daripada terus menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab. Buktikan kepada mereka bahawa kita masyarakat yang prihatin, penyayang dan masih ada orang yang sayangkan mereka walaupun ibu bapa dan saudara sendiri membenci mereka.
Melepak merupakan satu aktiviti yang kebiasaannya dilakukan oleh golongan remaja dengan berkumpul beramai-ramai tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah. Golongan ini berkumpul di sesuatu tempat tertentu seperti di tepi jalan, taman, kedai makan dan sebagainya tanpa tujuan tetapi hanya membuang masa dengan sia-sia. Golongan ini akan melakukan aktiviti yang di sukai oleh mereka tanpa menghiraukan ketenteraman orang lain. Mereka akan membuat bising dan ada kalanya mengacau orang yang lalu lalang di tempat mereka berkumpul itu. Golongan ini juga biasanya hanya berbual-bual kosong tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah. Selain itu, terdapat juga golongan pelajar yang ponteng sekolah akan menghabiskan masa mereka dengan melepak dan merayau-rayau di pusat beli-belah. Golongan ini seperti tidak mempunyai tujuan dan matlamat hidup tetapi lebih mementingkan keseronokan dan berjumpa rakan-rakan. ‘Mat-mat rempit’ juga sering berkumpul dan melepak beramai-ramai di sesuatu kawasan. Kebiasaannya mereka akan menguji motosikal masing-masing dan membuat bising di kawasan tersebut. mereka tidak menghiraukan golongan masyarakat setempat yang terganggu dengan bunyi enjin motosikal mereka. jika ditegur mereka akan membuat tindakan yang lebih melampau dengan membelasah orang yang menegur perbuatan mereka itu. Oleh sebab itu, orang ramai tidak akan menghiraukan golongan ini dan buat-buat tidak sedar akan kehadiran mereka.
Antara punca gejala lepak ini berlaku ialah, keruntuhan institusi keluarga. Hal ini kerana, pergaduhan yang sering berlaku menyebabkan anak-anak bosan dan tertekan. Oleh sebab itu, mereka akan keluar dari rumah dan berkumpul bersama-sama rakan untuk mencari keseronokan dan menghilangkan tekanan yang di hadapi di rumah. Ibu bapa yang bersikap tidak ambil tahu dengan apa yang dilakukan oleh anak-anak juga menyebabkan golongan ini semakin bebas untuk melepak dan pulang kerumah pada awal pagi. Selain itu, suasana dan keadaan rumah yang sempit juga menyebabkan golongan remaja akan keluar rumah dan melepak di tepi-tepi jalan. Hal ini kerana, keadaan rumah yang sempit dan ditambah lagi dengan bilangan adik-beradik yang ramai menyebabkan suasana di dalam rumah tidak tenang. Golongan seperti ini juga memikirkan bahawa di rumah bukan ada perkara yang boleh memberi ketenangan dan keseronokan tetapi mendatangkan tekanan dan ditambah lagi dengan ibu bapa yang kuat berleter menyebabkan mereka tidak suka pulang ke rumah.
Melepak boleh menjadi punca kepada gejala sosial yang lain seperti merempit dan ketagihan dadah. Hal ini kerana, jika sudah berkumpul beramai-ramai pasti ada di kalangan mereka yang akan memperkenalkan bahan tersebut kepada rakan-rakan yang lain. Mereka akan memujuk rakan-rakan untuk sama-sama mencuba pil-pil khayal, merokok dan sebagainya. Golongan remaja seperti ini mudah terpengaruh dengan sesuatu yang baru apatah lagi yang disarankan oleh kawan mereka sendiri. Jika tidak mencuba mereka takut diejek dan diketawakan oleh rakan yang lain. Hal ini menyebabkan penagih dadah di kalangan remaja akan meningkat.
Untuk mengatasi masalah ini, semua pihak perlu memberikan kerjasama dan memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa terutamanya perlu memberikan kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak yang sedang meningkat remaja kernan golongan inilah yang mudah terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak-anak dan mengambil tahu dengan siapa mereka berkawan dan perkara yang mereka lakukan jika berkumpul beramai-ramai. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu memantau pergerakan golongan remaja ini. Dekati mereka dan rancangkan satu aktiviti yang menyeronokkan untuk mereka menghabiskan masa lapang daripada melepak yang tidak mempunyai tujuan. Golongan remaja seperti ini memerlukan perhatian dan tunjukkan kepada mereka bahawa mereka masih diperlukan dalam masyarakat.
PENAGIH DADAH
Dadah merupakan musuh nombor satu negara dan setiap hari ada sahaja individu yang akan terlibat dengan aktiviti menagih dadah. Penagihan dadah telah menjadi satu masalah sosial yang paling teruk di negara kita sejak dahulu lagi walaupun pelbagai cara telah dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Namun demikian, setiap hari kes penagihan dadah meningkat dan mereka yang terjebak dengan najis dadah ini juga meningkat tanpa mengira kaum, agama dan usia. Hal ini kerana, jika sekali sudah terlibat dengan dadah sukar untuk keluar dari kepompong musuh utama dalam masyarakat ini tanpa usaha dan kesedaran diri yang tinggi. Tiada siapa yang dapat membantu kita jika sudah terjebak dengan dadah kecuali diri sendiri serta sokongan daripada ahli keluarga dan masyarakat setempat. Dadah merupakan bahan yang digunakan untuk tujuan perubatan tetapi telah disalah gunakan oleh pihak tertentu dan menyebabkan ketagihan.
Antara punca ketagihan dadah ialah pengaruh rakan sebaya. Rakan boleh membawa kebaikan kepada seseorang dan juga boleh merosakkan seseorang individu itu. Apabila kita tersalah memilih rakan hancurlah masa depan kita. Hal ini kerana, rakan memberikan pengaruh yang amat besar dalam diri seseorang dan begitu juga dengan penagih dadah ini. Pada mulanya mereka akan melihat apa yang dilakukan oleh rakan mereka dan sedikit demi sedikit mereka akan terpengaruh dan perasaan ingin mencuba akan timbul ditambah lagi dengan sokongan dan galakan rakan yang mengatakan dadah memberi keseronokan dan dapat melupakan segala masalah. Percubaan kali pertama hanya ingin melupakan masalah yang membelenggu diri tetapi lama-kelamaan ia akan memakan diri sendiri kerana apabila sudah ketagihan sukar untuk meninggalkannya. Untuk menghindarkan diri kita daripada terjebak dengan gejala negatif ini, kita perlu mempunyai keyakinan diri yang kuat. Jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan kata-kata orang. Jika ingin menyelesaikan dan melupakan masalah sekalipun cari jalan yang lebih baik bukannya melibatkan diri dengan masalah yang lebih besar iaitu menagih dadah. Selain itu, kita juga perlu menerima kelemahan dan kebaikan yang ada pada diri kita kerana setiap individu yang beada di atas muka bumi ini adalah tidak sempurna. Jangan jadikan dadah sebagai ubat untuk kita kelihatan cantik dan kurus kerana ia akan memberi kesan buruk yang berpanjangan. Jadilah diri sendiri dan percaya dengan diri dalam membuat sesuatu keputusan kerana semuanya adalah bergantung pada diri seseorang itu untuk mencorak kehidupannya sama ada untuk menuju kejayaan ataupun kehancuran.
Selain itu, seseorang individu terlibat dengan penagihan dadah disebabkan oleh perasaan ingin tahu. Hal ini demikian kerana, perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru ada dalam diri setiap orang terutamanya remaja. Oleh sebab itu, kebanyakan kes masalah sosial di negara ini adalah melibatkan golongan remaja. Penagih dadah dari kalangan pelajar sekolah juga semakin meningkat sejak akhir-akhir ini dan situasi ini amat membimbangkan semua pihak. Antara cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi perasaan ingin mencuba ini adalah dengan menyedari tentang kesan perbuatan tersebut di kemudian hari. Fikirkan tentang kebaikan dan keburukan sesuatu perkara sebelum melakukannya. Selain itu, para remaja juga diingatkan agar berfikir dengan teliti tentang sesebuah situasi dan keadaan itu serta ambil keputusan agar kita tidak terpengaruh dengan gejala yang negatif ini.
Kebanyakkan remaja yang terjebak dengan najis dadah ini juga lebih mementingkan keseronokan dalam diri mereka. oleh sebab itu mereka mudah terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat. Kalau kita lihat kebanyakkan mat rempit adalah remaja dan mereka terlibat dengan dadah. Jika mereka ingin melakukan aksi ngeri pasti mereka mengambil dadah untuk menghilangkan perasaan takut tersebut. Selain itu juga, mereka yang mengambil pil-pil dan dadah ini tidak mengetahui kesan penggunaan bahan tersebut yang akan menyebabkan mereka ketagihan. Setelah ketagihan barulah ingin mencari kesan dan punca bahan tersebut kepada badan kita tetapi tiada gunanya lagi kerana bahan tersebut sudah menjadi sebahagian dari hidup. Jika kita tidak mahu terjebak dengan masalah ini, ambil tahu tentang perkara yang berlaku di sekeliling kita dan cari kesan sesuatu pil tersebut sebelum mencubanya.

Walaupun hukuman mengedar dadah adalah berat iaitu hukuman mati, namun setiap hari kita akan mendengar berita tentang kejayaan pihak berkuasa menangkap penyeludupan dadah di negara kita yang jumalahnya adalah berjuta-juta ringgit. Golongan ini tidak takutkan hukuman tersebut tetapi lebih mementingkan keuntungan dan kesenangan mereka. Yang menjadi mangsanya adalah anak bangsa kita yang terjebak dengan najis dadah ini. Hal ini demikian kerana, ada dia antara golongan pengedar dan penjual dadah ini yang memilih dan memperdaya pelajar sekolah untuk membeli bahan larangan tersebut.
Pilihan di tangan kita sama ada ingin menjadi hamba kepada dadah ataupun menjadi insan yang berguna kepada negara dan masyarakat. Adakah kita inginkan keseronokan yang sementara dengan menagih dadah tetapi penyeksaan yang berpanjangan akibat ketagihan ataupun kehidupan yang sihat dan bahagia tanpa dadah. Dadah menyebabkan keluarga porak peranda, hilang kerja, disish masyarakat dan sebagainya. Dadah juga menyebabkan manusia membunuh antara satu sama lain. Ketagihan dadah juga menyebabkan fungsi otak seseorang itu rosak. Dadah juga menyebabkan jangkitan penyakit yang tiada ubatnya iaitu AIDS. Oleh sebab itu, jauhilah dadah agar hidup kita aman dan harmoni.